Tambang bas sekolah tidak akan dinaikkan bermula 1 Januari 2019.

Jaminan itu diberikan Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd Ropik Mohd Yusof di sebalik penetapan harga minyak runcit secara mingguan.

Mohd Rofik berkata, penetapan tambah bas sekolah itu adalah susulan pelaksanaan tambah regulasi yang ditentukan oleh ibu bapa dan pengendali bas.

"Walaupun apungan minyak akan diadakan secara tiap-tiap minggu, ia tidak akan jejaskan kepada apa-apa perubahan kepada tambang pada 2019.

"Namun, apa yang saya mohon kepada semua pihak, termasuk pengusaha agar tidak mengambil kesempatan terhadap apa-apa sahaja susulan pelaksanaan apungan harga minyak ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Ahad.

Jelas Mohd Rofik, sekiranya ibu bapa merasakan tambang terlalu mahal, mereka masih mempunyai pilihan untuk menggunakan perkhidmatan bas sekolah dengan kadar tambang yang lebih setimpal.

Bagaimanapun, katanya, pihak pengusaha bas ketika ini masih perlu menampung kos operasi dan penyelenggaraan bas yang tinggi.

Justeru, beliau berharap supaya Kementerian Pengangkutan meluluskan permohonan mereka supaya harga diesel ditetapkan pada kadar RM1 seliter kepada semua pengusaha bas sekolah.

"Usaha kami di peringkat GPBSM ini telah lama dan kita telah mohon supaya kadar minyak diseleraskan kepada semua bas sekolah dengan kadar RM1, sama macam yang dinikmati nelayan.

"Jadi kami harap permohonan ini daripada kami seluruh negara ini dapat perhatian kerajaan supaya diselaraskan RM1 untuk bas sekolah sahaja," katanya.

Menurutnya, permohonan itu telah dibuat secara rasmi kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sewaktu merasmikan mesyuarat agung tahunan mereka baru-baru ini.

Jelasnya, sekiranya kadar setara diesel tersebut dilaksanakan, ia akan menampung kos operasi dan penyelenggaraan.