Kerajaan akan terus memberi penerangan secara ilmiah bagi menggalakkan ibu bapa membuat simpanan menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bagi mengelak pelajar berdepan masalah dengan pinjaman pendidikan pada masa akan datang.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang melaksanakan skim tersebut, bukan sahaja menyasarkan kutipan pembayaran pinjaman tetapi juga mahu bertanggungjawab mendidik masyarakat.

Beliau berkata bagi menyokong usaha menabung, kerajaan menerusi PTPTN menyediakan geran sepadan kepada pelajar Tahun Satu di sekolah bantuan penuh kerajaan bagi simpanan terkumpul sehingga RM50 dalam akaun SSPN-i .

"Ini bermakna setiap akaun akan menerima RM50 lagi (menjadikan jumlah akaun RM100) daripada kerajaan dan kini satu geran sepadan lagi diwujudkan melibatkan akaun tabungan berjumlah RM500.

"Untuk satu akaun RM500, kerajaan akan memberi percuma RM500...namun untuk 500,000 pelajar yang layak sahaja. Jadi rebutlah peluang ini," katanya pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kelengkapan persekolahan pada Program Ceria Kembali Ke Sekolah Bersama PTPTN di sini hari ini.

PTPTN dijangka melakukan penerangan mengenai geran tersebut dari semasa ke semasa bagi membolehkan orang ramai terus berminat menabung, katanya.

Selain itu, Idris yang juga Anggota Parlimen Besut berkata PTPTN melakukan pelbagai penambahbaikan dan dijangka mampu mengutip pinjaman melebihi sasaran RM4 bilion tahun ini.

"Sehingga kini, PTPTN telah kutip sebanyak RM3.36 bilion. Kita lihat PTPTN telah berbelanja RM51.55 bilion untuk memberi pinjaman kepada 2.8 juta pelajar di seluruh negara.

"Kutipan sebelum ini kita lihat kurang daripada RM1 bilion, dua tahun lalu kita kutip hampir RM2 bilion dan tahun lalu mereka kutip RM3.4 bilion. Tahun ini, Insya-Allah lebih RM4 billion akan dikutip, bermakna PTPTN berjaya meyakinkan pelajar untuk membayar," katanya.

Beliau berkata tindakan peminjam membayar balik pinjaman mereka mempunyai kaitan dengan pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi diskaun 15 hingga 20 peratus, dan sehingga kini, lebih 2,000 peminjam merebut peluang tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN Datuk Wan Ahmad Wan Yusof berkata pihaknya kini giat memberi galakan menabung dengan permulaan RM1 sehari bagi mendapatkan RM30 sebulan.

"Hari ini sahaja, PTPTN sediakan simpanan kepada 400 pelajar, sebanyak RM100 seorang daripada golongan kurang berkemampuan. Ia sebagai permulaan kepada ibu bapa mereka membuat tabungan. Banyak keistimewaan diuar-uarkan termasuklah perolehan dividen yang tinggi dan takaful.

"Pada masa depan, kita berharap masyarakat tidak terlalu bergantung dengan pinjaman kerana pinjaman yang tinggi boleh menyukarkan anak-anak kita di kemudian hari. Justeru, saya menyarankan ibu bapa membuat simpanan bagi tujuan pendidikan tinggi anak masing-masing," katanya.

-- BERNAMA