Kumpulan pro-keselamatan seharian, Safety First mahu ibu bapa supaya lebih peka dengan keselamatan anak masing-masing dan memantau aktiviti mereka supaya tidak terlibat dengan kegiatan basikal lajak yang boleh meragut nyawa.

Pengasas Safety First, Samad Rahim berkata ibu bapa sepatutnya mengetahui di mana anak-anak mereka berada terutama ketika lewat tengah malam serta awal pagi dan tidak hanya membiarkan pihak berkuasa memantau mereka.

"Kami sebuah kumpulan yang mementingkan keselamatan tidak kiralah siapa dan di mana sahaja, sekarang ini masalah basikal lajak di kalangan kanak-kanak serta remaja semakin serius jadi kami harap sangat ibu bapa tolonglah peka tentang anak-anak mereka.

"Anak kita, kitalah perlu jaga jangan nak serahkan kepada orang lain (pihak berkuasa) itu tanggungjawab ibu bapa...kena fikir keselamatan mereka jangan nanti dah terjadi benda buruk(kemalangan) baru hendak menyesal," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan sebanyak RM8,300 kepada keluarga Allahyarham Muhammad Saifullah Muhammad Hafeiz,16, yang maut dirempuh bas persiaran dalam kemalangan di simpang empat lampu isyarat Setia Triangle Bayan Lepas, dekat sini pada 6 Nov lepas.

Kumpulan Safety First yang bergerak menyebarkan maklumat mengenai keselamatan jalan raya dan menyalurkan sumbangan kepada orang ramai melalui penggunaan aplikasi WhatsApp kini mempunyai capaian kepada lebih 5,200 individu termasuk di luar negara dan menjangkakan jumlah itu akan meningkat dalam tempoh singkat.

Penasihat Safety First merupakan Datuk Seri Azman Ujang yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Sementara itu, Samad berkata pihaknya juga mempergiatkan usaha menyebarkan maklumat serta kempen berkaitan keselamatan jalan raya untuk memastikan kadar kemalangan jalan raya semakin berkurangan sekali gus dapat menyelamatkan nyawa.

Katanya penunggang dan pembonceng motosikal menjadi keutamaan untuk diberikan pendedahan tentang aspek keselamatan jalan raya berikutan golongan itu paling berisiko tinggi apabila kira-kira 4,000 orang maut dalam kemalangan motosikal direkodkan setiap tahun.

"Sebagai kumpulan Safety First ini kita rasa terpanggil untuk membantu menyebarkan maklumat dan memberikan kempen sewajarnya kerana sumber kematian dan kehilangan nyawa terbesar adalah di jalan raya, paling jadi keutamaan adalah penunggang dan pembonceng motosikal," katanya.

Dalam pada itu, Samad berkata kumpulan Safety First dianggotai pelbagai kaum dan umur serta latar belakang pendidikan termasuk golongan profesional dalam menyalurkan maklumat kepada ahli kumpulan menerusi aplikasi WhatsApp.

Katanya ahli yang menghadapi sebarang masalah, kemusykilan atau memerlukan bantuan boleh memaklumkan dalam kumpulan itu dan pihaknya akan cuba membantu sedaya mungkin.

"Bila timbul masalah atau perlukan bantuan, tidak semestinya saya seorang yang akan tampil membantu sebaliknya ahli yang dalam kumpulan itu yang terdiri daripada pelbagai bidang antaranya polis, doktor, bomba, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan ramai lagi akan menjawab persoalan atau masalah berbangkit daripada ahli. Selain itu kami hanya menyebarkan info yang betul sahaja dan bukan khabar angin" katanya.

Menurutnya kumpulan itu tidak melibatkan sebarang agenda politik sebaliknya tujuan utama adalah untuk menyalurkan maklumat mengenai maklumat mengenai keselamatan jalan raya dan menyalurkan sumbangan kepada orang ramai yang memerlukan.

-- BERNAMA