Setiap kali hari pertama persekolahan, gelagat murid Tahun Satu pasti menjadi perhatian.

Ada di antara mereka yang enggan ditinggalkan ibu bapa memandangkan mereka masih belum biasa dengan suasana baharu di sekolah.

Hari pertama persekolahan bagi tahun 2019 yang telah dimulakan di negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor tentunya sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini dengan pengenalan beberapa dasar baharu oleh Kementerian Pendidikan.

Perubahan itu termasuk warna kasut sekolah serta pemansuhan peperiksaan bagi murid tahap satu (Tahun 1, 2 dan 3) yang digantikan dengan sistem Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang lebih objektif.

Tinjauan Astro AWANI di Sekolah Kebangsaan Ledang di sini mendapati, kira-kira 70 peratus ibu bapa memilih untuk menggalakkan anak-anak menggayakan kasut hitam ke sekolah sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya pada 2021.

Seorang bapa, Mohd Nor Isa, 36 tahun, berkata, beliau menyambut baik saranan kerajaan yang membenarkan murid-murid menggunakan kasut hitam ke sekolah bermula tahun ini sebelum ia diwajibkan sepenuhnya.

"Kasut hitam lebih mudah dari segi penjagaannya, lebih-lebih lagi bagi anak yang baru memulakan langkah persekolahan di Tahun Satu," katanya.

Di Johor, seramai 55,218 pelajar Tahun Satu memulakan sesi pembelajaran di 685 sekolah kebangsaan di negeri ini hari ini.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik juga sempat meluangkan masa kira-kira tiga jam di SK ledang untuk memantau hari pertama sesi persekolahan 2019.

Sebelum ini, mengumumkan sistem pentaksiran baru itu, Maszlee berkata pentaksiran berkenaan bagi menggantikan peperiksaan formal dan mewujudkan budaya pembelajaran yang lebih menyeronokkan.

Ia bermakna, guru boleh memberi lebih perhatian kepada penerapan nilai kasih sayang, kegembiraan, hormat-menghormati dan memantapkan pembangunan sahsiah murid secara individu.

Bagi seorang lagi bapa, Mohd Khairudin Romli, 32 tahun, dasar baharu yang diperkenalkan kerajaan itu amat baik.

"Kecemerlangan akademik anak-anak tidak hanya terletak di bahu guru. Ibu bapa perlu sama-sama berganding bahu memastikan sahsiah pelajar di peringkat rumah lagi.

"Ia juga lebih baik berbanding sistem peperiksaan kerana guru akan memberi lebih fokus kepada perkembangan murid secara individu," katanya.