Ibu bapa perlu memainkan peranan dalam membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah, dan tidak meletakkan tanggungjawab itu di atas bahu guru semata-mata.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon berkata, isu penyalahgunaan dadah banyak berlaku di luar pagar sekolah dan mustahil untuk para guru mengawasi pelajar mereka sepanjang masa.

"Selepas waktu persekolahan, ibu bapalah yang bertanggungjawab menjaga anak-anak mereka.

"Namun, pihak sekolah juga turut memantau sekiranya ada dalam kalangan pelajar yang terlibat dengan dadah, tak kira sama ada sebagai penagih mahupun pengedar," katanya kepada pemberita selepas penyerahan cek peruntukan kepada 43 penerima terdiri daripada sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan di sini hari ini.

Beliau berkata apabila seseorang pelajar telah dikategorikan sebagai pencuba dadah, pihaknya akan memantau pelajar terbabit selama tiga bulan dan jika didapati masih meneruskan aktviti penyalahgunaan dadah, pelajar berkenaan akan dilaporkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dalam satu laporan berkata, pada 2015 seramai 1,475 pelajar sekolah didapati terlibat dengan pengambilan dadah dan daripada jumlah itu, 73 peratus berkaitan Amphetamine Type Stimulant (ATS), 19.2 peratus berkaitan dadah jenis kanabis manakala lapan peratus lagi lain-lain dadah.

-- BERNAMA