Wanita berusia 28 tahun yang juga ibu kepada sepasang anak kembar berusia tujuh bulan ditahan dalam serbuan yang dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di rumahnya dekat Taman Seri Impian, di sini semalam.

Dia yang juga seorang ibu tunggal dan mempunyai tiga anak lain berusia antara dua dan lapan tahun dikesan positif dadah jenis methamphetamine dan morphine.

Menurut Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak, wanita itu merupakan antara 16 individu yang ditahan dalam serbuan yang dilakukan AADK.

Ketika serbuan dilakukan, Arnida berkata, seorang rakan kepada ibu tunggal berkenaan yang berusia 33 tahun turut ditahan bersama kekasihnya yang berusia 34 tahun.

Kedua-duanya juga, kata beliau,didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Hasil risikan mendapati, mereka menjadikan rumah wanita tersebut yang diduduki bersama ibu bapanya sebagai lokasi melepaskan gian," katanya seperti dilaporkan portal Sinar Harian.

Arnida berkata, operasi yang bermula pukul 9 pagi hingga 9.30 malam itu telah menggempur 11 kawasan di sekitar Sungai Petani, Sungai Layar dan Merbok dan berjaya menahan 16 individu berusia 21 hingga 60 tahun kerana positif dadah jenis methamphetamine dan morphine.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.