Seorang ibu pengsan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengetahui anaknya dihukum gantung sampai mati kerana mengedar dadah.

Wanita itu pada mulanya kelihatan tenang semasa Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan menjatuhi hukuman terhadap anaknya, Hoo Moon Hong, 37, tetapi ketika jurubahasa menjelaskan keputusan mahkamah selepas prosiding, wanita tersebut tiba-tiba pengsan.

Dia ditenangkan oleh anggota keluarganya selepas sedar daripada pengsan.

Terdahulu, mahkamah menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap Hoo, pemilik kedai aksesori dan rakannya, Ng Kim Chong, 37, seorang kontraktor, selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengedar pelbagai jenis dadah seberat 250.2 gram, dua tahun lalu.

Nordin menjatuhi hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan setelah pembelaan tidak berjaya menyangkal anggapan pemilikan dan pengedaran dadah tersebut.

"Tertuduh pertama (Ng) mengakui ada menerima satu beg plastik dan diletakkan di belakang kereta, tetapi menafikan beg plastik itu berisi dadah. Saksi pendakwaan ke-10 (SP10) iaitu seorang inspektor polis pula menyatakan dadah ditemui (di dalam bungkusan di dalam kereta itu).

"Saya tidak dapat lihat apa-apa alasan SP10 yang menjalankan tugas itu untuk menganiaya tertuduh dengan mengatakan bahawa plastik berisi dadah telah dirampas. Keterangan SP10 adalah konsisten dan diterima," katanya.

Bagi tertuduh kedua (Hoo), Nordin berkata dadah telah dirampas dari dalam kotak gear kereta miliknya, selain terdapat kesan cap jari tertuduh pada bungkusan dadah itu.

Ng dituduh mengedar heroin dan monoacetylmorphines seberat 38.3 gram di Bangunan G Tower, Jalan Tun Razak, di sini, jam 9.10 malam, pada 11 Feb 2015 manakala Hoo didakwa mengedar methamphetamine (syabu) dan methylenedioxymethamphetamine (ecstasy) seberat 211.9 gram di perkarangan letak kereta, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada 1.50 pagi, 12 Feb 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum menurut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ezrene Zakariah manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk P. Nagarajan.

-- BERNAMA