Seorang ibu merayu anak lelakinya dibebaskan selepas setahun tanpa khabar berita.

Wan Shahrizal Wan Zulkifli, 51, mendakwa anaknya itu diculik oleh lima lelaki pada malam 5 Julai tahun lepas.

Walaupun wang tebusan sudah dibayar, anaknya yang dikenali sebagai Mohd Aiman Zafri, 25, masih tidak pulang dan masih gagal dikesan.

Mengimbas kembali, Wan Shahrizal memaklumkan anaknya bersama menantunya Nur Azra Syazwani Abdullah, 25, ketika itu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja sebelum sebuah kereta yang dinaiki lima lelaki menghimpit dan mengambil anaknya di hadapan sebuah kedai runcit, di Jalan Taman Maju di sini sekitar jam 11.30 malam.

Kumpulan terbabit dikatakan menculik anaknya, Aiman dengan menaiki sebuah kereta berwarna hitam dan meninggalkan isterinya di tepi jalan berkenaan.

Wan Shahrizal Wan Zulkifli (kanan) mendakwa anaknya diculik oleh lima lelaki pada malam 5 Julai tahun lepas. Foto Astro AWANI/Muhafandi Muhamad
Seminggu selepas itu, kumpulan terlibat menuntut wang tebusan berjumlah RM50,000, namun Wan Shahrizal hanya dapat melunaskan sejumlah RM22,000 wang tebusan.

Maklumnya lagi, pembayaran pertama berjumlah RM20,000 dibuat pada 14 Julai 2017 dengan meletakkan duit berkenaan di satu tempat di Rantau Panjang manakala pembayaran kedua berjumlah RM2,000 melalui satu transaksi bank pada 28 Julai 2018.

Sehingga kini sudah tujuh laporan polis sudah di buat di Ibupejabat Polis Kota Bharu.

Beliau turut berkata anaknya dikatakan mempunyai hutang dengan seseorang namun beliau tidak mengetahui secara jelas kerana Aiman tidak pernah memaklumkan kepadanya atau isterinya.

"Pok We" diburu

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Noor Halim Nordin ketika dihubungi mengesahkan kejadian, dan memaklumkan siasatan mengenai kes berkenaan masih berjalan.

Untuk itu Polis Kelantan sedang mengesan seorang lelaki yang dikenali sebagai “Pok We” yang dipercayai merupakan suspek utama kes culik berkenaan.

Suspek yang dikenalipasti sebagai Ahmad Syazwan Ayub, 22, itu dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik mana-mana individu keluar daripada sempadan Malaysia.

Siasatan lanjut menunjukkan suspek utama ini bersama empat lagi lelaki membawa mangsa ke pekan Golok, di negara Jiran selepas kejadian itu.

Hasil siasatan juga telah menahan empat lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 26 tahun yang juga merupakan kenalan kepada mangsa.

Wanita yang merupakan isteri kepada suspek “Pok We” itu telah disabitkan dengan kesalahan mengikut seksyen 424 Kanun Keseksaan kerana membenarkan orang lain menggunakan identitinya.

Pasukan siasatan juga mendapati suspek utama dan mangsa mengenali rapat antara satu sama lain.

Polis juga turut meminta bantuan Interpol bagi mengesan “Pok We” yang difahamkan kini berada di negara jiran, Thailand.