Akibat harga getah yang terlalu rendah iaitu sekitar RM2.20 sekilogram di samping kos keperluan harian yang kian meningkat, seorang ibu tunggal di Kampung Besah dekat Baling, Kedah kini menjual biji pinang sebagai sumber alternatif menambah pendapatan.

Azizah Che Teh, 59, yang juga penoreh getah terpaksa mencari lebihan pendapatan bagi membesarkan tujuh orang anaknya sejak suaminya meninggal dunia 6 tahun lalu.

Segalanya bermula apabila Azizah memikirkan harga barang basah terutama ikan, ayam dan sayuran yang mahal di pasaran menyebabkan dia tekad menjual biji pinang.

Menurut Azizah, dia tidak boleh berharap kepada hasil torehan getah, semata-mata dan demi kelangsungan hidup dia menjual biji pinang dengan harga RM7 sekilogram.

menjual biji pinang sebagai sumber alternatif menambah pendapatan..

"Mereka beli pinang tu mahal lah RM7 atau RM8, kita kena kait sendiri belah sendiri. Saya jemur sebelum dijual," katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Menceritakan pengalaman hidupnya sebagai seorang penoreh, Azizah pernah terputus bekalan makanan terutama ketika musim tengkujuh kerana tidak dapat menoreh langsung.

Tekanan hidup itu sehinggakan memaksa Azizah berhutang di beberapa kedai runcit sekitar kampung kerana kesempitan hidup.

Namun kini dengan wang hasil jualan biji pinang mampu mengubah ceritera hidup Azizah sekeluarga.

Azizah juga mengajak penoreh getah yang lain mengubah dan mencari alternatif lain untuk menambah pendapatan seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan.