Hasrat seorang ibu tunggal untuk membeli barang keperluan sambutan Aidilfitri tidak kesampaian apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh seekor babi hutan.

Mangsa, Roslina Muhamad, 42 tahun dari Bandar Cheneh Baru, Kemaman maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Kemalangan berlaku pada kira-kira jam 5 petang Ahad di kilometer 17, Jalan Mak Lagam ke Bandar Cheneh Baru berhampiran kawasan pelupusan sampah Bukit Jemalang.

Mangsa yang merupakan seorang tukang cuci di sebuah syarikat swasta di Bandar Cheneh Baru dikatakan gagal mengelak haiwan terbabit yang tiba-tiba muncul dari kawasan semak.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng, Khairunnisa Radin, 21 tahun cedera dan dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tentang kejadian berkenaan.

Jenazah mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.