Biarpun mengetahui dirinya penghidap HIV (human immunodeficiency virus) ekoran sikap arwah suaminya yang suka melanggan pelacur, wanita itu tidak pernah patah semangat.

Sebaliknya, kekuatan untuk meniti kehidupan diteruskan demi empat anaknya yang masih memerlukan kasih sayang dari seorang ibu.

Malah, reda dengan penyakit yang berakhir dengan kematian itu, Zainab (bukan nama sebenar), 48 tahun dari Kampung Baung, Pengkalan Chepa, di sini dikesan menghidap penyakit itu lapan tahun lalu selepas suaminya meninggal dunia.

Ibu tunggal yang mempunyai dua anak lelaki dan dua perempuan berusia dari 21 hingga lapan tahun termasuk seorang anak orang kelainan upaya (OKU) itu tidak menyerahkan kalah bahkan boleh berdikari mencari pendapatan sebagai tukang jahit untuk membesarkan anak.

“Walaupun kadangkala dicemuh masyarakat kerana penghidap HIV tetapi rezeki saya tidak pernah putus dan mampu meneruskan kehidupan sebagai tukang jahit untuk menyara empat anak.

“Cuma saya risau apa akan jadi kepada anak-anak saya jika saya pergi nanti. Bagaimana masa depan mereka,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Ahad.

Menceritakan lanjut, Zainab berkata, kisah itu bukan mahu menagih simpati ramai sebaliknya bertujuan untuk berkongsi ketabahannya dalam meneruskan kehidupan.

Sementara itu, nasib Zainab dan keluarga mendapat perhatian Ketua Penerangan Wanita UMNO Kelantan, Zarina Md Eusope yang berkunjung ke rumah ibu tunggal itu bersama Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), Mohd Zailani Abd Rahman.

Beliau berasa terharu dengan ketabahan Zainab meneruskan kehidupan membesarkan empat anak walaupun mengetahui mengenai penyakitnya itu.

“Saya akan lihat apa yang boleh dibantu. Mungkin dari segi tempahan jahitan kepada Zainab.

“Saya kagum dengan ketabahannya tidak memikirkan penyakit yang dialami,” katanya.