Urus tadbir kerajaan yang baik serta kestabilan menjadi teras kepada sesebuah negara untuk mencapai status negara membangun, kata perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menerusi video pembukaan pada Persidangan Antarabangsa Kemunculan Afrika Ke-3 (ICEA 2019), Perdana Menteri berkongsi pengalaman beliau dalam mencorak pembangunan fizikal serta ekonomi Malaysia.

“Saya percaya, saya mempunyai pengalaman dalam membangunkan sebuah negara daripada berstatus negara membangun kepada sebuah negara berpendapatan sederhana tinggi.

“Saya percaya, semua negara mampu untuk melakukan ini menerusi sistem kerajaan yang baik. Apa yang penting dalam menambahbaik ekonomi sesebuah negara adalah menerusi kestabilan dan urus tadbir yang baik.

“Jika ia dapat dilaksanakan, maka perkara yang lain akan berjalan lancar,” katanya menerusi video berdurasi 40 saat itu.

Video tersebut ditayang di hadapan Ketua-ketua Negara Afrika, delegasi serta lebih 1,000 peserta yang hadir pada pembukaan persidangan yang disempurnakan Presiden Senegal, Macky Sall di Pusat Persidangan Antarabangsa Abdou Diouf Diamniadio di sini pada Khamis.

Pada persidangan ini, Dr Mahathir berkongsi pentas bersama beberapa pemimpin negara Afrika bagi Diskusi Panel Peringkat Tertinggi serta tiga sesi dialog.

Antara pemimpin negara Afrika yang bakal sepentas dengan Dr Mahathir adalah Presiden Mali, Ibrahim Boubacar Keita; Presiden Senegal, Macky Sall dan Perdana Menteri Ivory Coast, Amadou Gon Coulibaly.