Sesebuah negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dalam memacu pembangunan fizikal serta ekonomi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata salah satu cara demokrasi adalah menerusi proses undian apabila rakyat menentukan kerajaan yang akan membangunkan sesebuah negara.

Jelasnya, amalan demokrasi dalam sistem pemerintahan yang dilaksana banyak negara dilihat sebagai satu titik tolak dalam kejayaan era kini.

“Pembangunan Malaysia lebih pantas kerana ia kekal stabil dan aman. Ya, memang kadangkala kami di dalam kerajaan tidak sependapat.

“Namun, kami dapat tanganinya dengan memenangi hati dan minda rakyat. Jadi rakyat tidak akan menyokong mereka yang menentang kerajaan.

“Jadi, apabila negara aman, ia boleh membangun serta membangun dengan sempurna,” ujar beliau ketika berkongsi pengalaman Malaysia semasa sesi panel peringkat tertinggi pada Persidangan Antarabangsa Kemunculan Afrika Ke-3 (ICEA 2019) di sini pada Khamis.

Sepentas dengan beliau pada sesi panel tersebut adalah Presiden Senegal yang juga penganjur persidangan, Macky Sall dan Presiden Mali, Ibrahim Boubacar Keita.

Mengulas berkenaan usaha menarik pelaburan asing, Dr Mahathir berkata adaptasi teknologi luar turut menyumbang kepada pembangunan sesebuah negara.

“Pelaburan asing menyumbang besar kepada kemasukan modal, teknologi, selain mereka tahu menjalankan perniagaan dan pemasaran.

“Dengan cepat, rakyat Malaysia belajar daripada itu. Jadi saya rasa pengalaman ini juga relevan kepada negara lain termasuk negara-negara Afrika jika anda tidak mempunyai teknologi, kemahiran, modal.

“Tidak salah untuk membawa pelabur asing walaupun mereka merupakan bekas penjajah negara kita,” katanya.

Dr Mahathir merupakan ketua kerajaan negara luar Afrika yang dijemput untuk berkongsi idea serta pengalaman pada persidangan yang berlangsung bermula Khamis.