ICERD: SUHAKAM sombong, angkuh - UMMAH

ICERD: SUHAKAM sombong, angkuh - UMMAH
Kerajaan perlu melihat semula penubuhan SUHAKAM dan membubarkannya jika wujud niat memecahbelahkan rakyat. - Foto Astro AWANI.
KUALA LUMPUR: Persatuan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) pada Isnin menemplak kenyataan SUHAKAM semalam yang akan terus menasihat kerajaan supaya meratifikasi ICERD.

Menurut Pengerusinya Aminuddin Yahya, kenyataan berkenaan disifatkan sombong dan angkuh tanpa mengira suara rakyat yang menolak ratifikasi ICERD dalam Perhimpunan 812 sabtu lalu.

Jelasnya, kerajaan perlu melihat semula penubuhan SUHAKAM dan membubarkannya jika wujud niat memecahbelahkan rakyat.
"UMMAH menemplak beberapa pihak termasuk SUHAKAM yang akan terus mendesak kerajaan meraktifikasikan ICERD walaupun rakyat telah menyatakan protes menolaknya pada Sabtu lalu.

"Sifat angkuh ini (kerajaan) perlu lihat balik. Ada keperluan untuk SUHAKAM dibubarkan jika niat mereka untuk memecahbelahkan rakyat. Ada parti politik yang buat sidang media sokong ICERD. Angkuh dan tidak sedar kehendak rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada petang isnin.

Jelasnya, dua individu daripada penganjur Himpunan 812 telah diambil keterangan berhubung isu kanak-kanak dibawa ke perhimpunan itu yang melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.

Tambahnya, perkara itu di luar kawalan penganjur yang telah memberi amaran kepada peserta agar tidak membawa kanak-kanak ke perhimpunan berkenaan.

Semalam, Pengerusi SUHAKAM Tan Sri Razali Ismail sempena sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 menjelaskan SUHAKAM kecewa dengan kerajaan kerana menolak ratifikasi ICERD.