Sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta automotif di Malaysia akan memperoleh paling banyak manfaat daripada perang perdagangan berterusan antara China dan Amerika Syarikat (AS), kata pakar ekonomi.

Pengarah Bersekutu The Economist Corporate Network, Pamela Qiu berkata banyak syarikat multinasional (MNC) dan utama sedang memikirkan cara untuk mengelak risiko dari China, memindahkan pangkalan pengeluaran atau rantaian bekalan mereka ke luar China.

"Berdasarkan kajian kami, ASEAN meraih manfaat besar daripada ini (perang perdagangan) dan memandangkan Malaysia mempunyai sejarah yang panjang berkaitan pembuatan kereta dan pengalaman dalam kejuruteraan elektronik berbanding negara ASEAN lain, ia berkedudukan baik untuk menarik sebarang pelaburan yang keluar dari China," katanya kepada pemberita di sini, pada Isnin.

Qiu merupakan antara penceramah di seminar Invest Kuala Lumpur Corporation (InvestKL) yang bertajuk 'Malaysia's Outlook Amid Global Uncertainties and Fiscal Policy Reform' (Prospek Malaysia ketika Ketidaktentuan Global dan Pembaharuan Dasar Fiskal).

Selain Sektor ICT dan automotif, beliau berkata produk pertanian juga akan mendapat manfaat daripada pertikaian perdagangan berkenaan.

Beliau berkata perubahan positif dalam landskap pilihan raya demokratik Malaysia selain pertukaran kerajaan yang lancar akan membantu meningkatkan keyakinan pelabur.

"Pada masa ini, apa yang diingini pemimpin perniagaan adalah kepastian mengenai pengawalseliaan dan hala tuju dasar; bidang atau sektor yang akan menerima pelaburan masuk kerajaan; memberi sokongan kepada perniagaan di Malaysia; serta sumber yang tersedia untuk MNC bagi membantu mereka menjalankan perniagaan di negara ini," katanya.

Sementara itu, Qiu mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia berkembang 4.5 peratus tahun ini, melebihi anggaran pertumbuhan global pada 2.8 peratus, namun rendah sedikit berbanding 4.7 peratus yang diunjurkan bagi 2018.

Beliau yakin pertumbuhan akan dipacu oleh penggunaan awam di samping komitmen kukuh daripada kerajaan dalam menetapkan langkah untuk menyokong pembangunan ekonomi.

Selain itu, beliau menjangkakan ringgit susut kira-kira lima peratus berbanding dolar AS tahun ini berikutan pengecilan perbezaan kadar faedah antara Rizab Persekutuan AS dan Bank Negara Malaysia.

Bagaimanapun, sebarang kenaikan harga minyak mentah akan membantu mendorong ringgit lebih tinggi, katanya.

-- BERNAMA