Bahan mudah bakar seperti cadar, baju pesakit dan langsir antara punca yang menyebabkan api pantas marak dalam kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru semalam.

Perunding Keselamatan Kanan Ficosafe Consultants Sdn Bhd Samad Rahim menjelaskan selain haba dan oksigen, bahan mudah bakar berkenaan antara elemen yang menyebarluaskan kebakaran sehingga tidak dapat dikawal.

"Kebakaran itu juga mungkin berlaku di tempat yang agak tertutup menyebabkan bahang kuat dan cepat menyambar langsir serta bahan mudah bakar lain yang terdapat di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Samad, yang berpengalaman luas dalam khidmat runding keselamatan pelbagai bangunan termasuk reka bentuk hospital, berkata demikian semasa mengulas insiden kebakaran di HSA pada kira-kira 9 pagi semalam.

Kebakaran di tingkat dua bangunan lima tingkat HSA itu meragut nyawa enam pesakit yang dirawat di wad ICU manakala seorang lagi pesakit dapat diselamatkan.

Tiga petugas HSA pula cedera dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail.

Ditanya mengenai kebakaran, yang dipercayai sukar dikawal kerana penggunaan alat bantuan pernafasan mengandungi oksigen oleh pesakit di wad ICU, Samad berkata beliau tidak menolak kemungkinan hal itu kerana oksigen adalah satu daripada unsur kebakaran.

"Selain haba dan bahan mudah bakar, oksigen adalah sifat kebakaran... alat bantuan pernafasan yang mengandungi oksigen memperkayakan oksigen di udara. Ini yang mengakibatkan api cepat merebak," katanya yang mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang keselamatan dan penyelenggaraan bangunan.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dilaporkan sebagai berkata kebakaran dipercayai sukar dikawal kerana adanya alat bantuan pernafasan mengandungi oksigen yang digunakan pesakit di wad ICU, menjadikan api merebak terlalu cepat.

Dalam perkembangan berkaitan, Samad menasihatkan pengurusan bangunan agar mematuhi Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UKBS) yang ditetapkan sebagai langkah keselamatan di premis masing-masing.

"Pencegahan adalah lebih baik, ambillah langkah awal sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku," katanya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang meninjau lokasi kejadian dan melawat waris mangsa di HSA semalam mahu sebuah suruhanjaya ditubuhkan bagi menjalankan siasatan terperinci kejadian kebakaran di hospital itu, yang dibina pada 1938.

Beliau berkata hasil siasatan itu kemudian akan digunakan sebagai panduan kepada semua hospital di negara ini terutamanya hospital yang perlu diubah suai atau dinaik taraf. - BERNAMA