Kerajaan sedar betapa pentingnya penglibatan golongan belia dalam proses membentuk Malaysia yang ideal kerana mereka perlu menggalas tanggung jawab sebagai peneraju negara di masa hadapan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Katanya lagi, kajian Inter-Parliamentary Union (IPU) - Penglibatan Belia dalam Parlimen-Parlimen Negara 2016 menunjukkan kurangnya penglibatan mereka dalam proses demokrasi negara, dan ia menunjukkan masih ada ruang yang perlu diperbaiki.

“Malaysia hanya mempunyai 10.8 peratus ahli Dewan Rakyat di bawah 40 tahun, manakala untuk Dewan Negara pula hanya 4.8 peratus. Kajian itu juga menunjukkan trend dunia sedang bergerak ke arah menghasilkan lebih ramai wakil rakyat di bawah umur 45 tahun.

“Justeru, kerajaan sentiasa berusaha memastikan lebih banyak inisiatif untuk memperkasa belia dalam kepimpinan supaya peneraju masa hadapan dapat bergerak selari dengan kemajuan ekonomi serta teknologi gangguan persekitaran,” katanya ketika berucap merasmikan Sidang Aspirasi dan Kepimpinan Kebangsaan 2018 (NALS 2018) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Datuk Seri Salleh berkata, NALS 2018, yang bertemakan “Youth Arise: Mapping the Ideal Malaysia” merupakan platform yang berkesan untuk golongan belia mengenengahkan idea, melakukan proses ‘brainstorm’ dan berkongsi dengan yang lain.

“Barisan panelis akan bersedia untuk berkongsi dan juga mendengar daripada anda, idea-idea yang dapat membawa kita menuju ke arah Malaysia yang lebih maju menjelang 2050,” katanya lagi.