KUALA LUMPUR:Kehadiran sebuah helikopter yang mendarat di perkarangan Istana Negara petang tadi menimbulkan tanda tanya mengenai identiti penumpangnya sehingga mencetuskan beberapa spekulasi.

Bagaimanapun, Astro AWANI kemudian difahamkan, helikopter yang dilihat tiba jam 3.05 petang dan meninggalkan perkarangan istana pada 5,30 petang itu dipercayai dinaiki oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Al-Sultan Abdullah.

Carian di media sosial mendapati Tengku Hassanal memuat naik sekeping gambar yang menunjukkan beliau sedang berada di dalam helikopter menerusi akaun Instagram rasmi Tengku Hassanal kira-kira tujuh jam lepas.

Helikopter itu dinaiki oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Al-Sultan Abdullah.

Difahamkan, helikopter itu sudah mendarat pada jam 12 tengah hari sebelum terbang dan mendarat semula petang ini.

Ia bukan sahaja menimbulkan tanda tanya bagi pengamal media yang bertugas di perkarangan istana, malah netizen di media sosial turut mempersoalkannya.

Terdahulu, Raja-Raja Melayu dilaporkan bersidang bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah kira-kira jam 2.30 petang.

BACA: Tiada keperluan isytihar darurat - Istana Negara 

Pertemuan khas bersama Al-Sultan Abdullah itu adalah bagi membincangkan beberapa cadangan yang dipersembahkan oleh kerajaan terutamanya mengenai penularan COVID-19.

Istana Negara kemudian mengeluarkan kenyataan, memaklumkan Al-Sultan Abdullah menitahkan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia, buat masa ini.

Seri Paduka Baginda mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.