Program berbuka puasa beramai-ramai di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur, Iftar@KL kembali untuk tahun ketiga penganjurannya.

Ia bermula semalam, dan hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke Jalan Raja, Dataran Merdeka untuk merasmikan program yang dianjurkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu.

Perdana Menteri dan isteri diiringi beberapa menteri kabinet yang lain turut berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib berjemaah.

Kira-kira 3,000 pengunjung dari pelbagai latar belakang tanpa mengira agama memenuhi Jalan Raja di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad itu, termasuk pelancong luar yang ingin merasai pengalaman budaya Islam di Malaysia.

Makanan diedar secara percuma sumbangan JKKN tetapi pengunjung turut disajikan pilihan lain daripada trak jualan makanan untuk menepati selera berbuka puasa mereka.

Tahun ini Iftar@KL dilengkapi 16 komponen pengisian termasuk solat Isyak dan terawih berjemaah, selain tazkirah, ceramah, tadarus Al-Quran, juga konsert nasyid dan pelbagai reruai perkhidmatan seperti kaunter zakat, pameran pelancongan Islam, kaunter sumbangan untuk gelandangan serta banyak lagi.

Iftar@KL berlangsung setiap hujung minggu pertama hingga ketiga bulan Ramadan 1438H iaitu pada 3, 4, 10, 11, 17 dan 18 Jun ini.