Syarikat Ihsan Perdana Sdn Bhd menerima RM123 juta daripada syarikat SRC International dan juga anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd antara tahun 2014 dan 2015.

Demikian kata saksi ke-36 dalam perbicaraan kes SRC International yang melibatkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi, pada Rabu iaitu hari ke-18 perbicaraan.

Apabila disoal balas peguam pembelaan, Farhan Read, saksi Aishah Ghazali bersetuju bahawa Ihsan Perdana menerima RM20 juta daripada SRC International dan RM103 juta pula daripada Gandingan Mentari.

Gandingan Mentari merupakan anak syarikat SRC International dan Ihsan Perdana merupakan syarikat yang mengendalikan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi SRC International.

Bagaimanapun, bekas Eksekutif Akaun Kanan Ihsan Perdana Sdn Bhd tersebut memberitahu bahawa RM20 juta lagi yang diterima oleh Ihsan Perdana menerusi akaun Affin Banknya berasal daripada sumber yang tidak dikenali.

Dalam pada itu, beliau juga memberi keterangan bahawa RM42 juta dipindahkan daripada akaun Ihsan Perdana ke dalam akaun Najib bagi tujuan CSR.

Saksi memberitahu bahawa transaksi dibuat atas arahan yang diberikan kepadanya oleh Pengarah Urusan Ihsan Perdana, Datuk Shamsul Anwar Sulaiman.

Beliau mengesahkan pemindahan RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta daripada Ihsan Perdana kepada akaun AmBank milik Najib dengan nombor akhir 880 dan 906.

Namun, beliau kemudiannya mengakui bahawa RM27 juta yang dipindahkan daripada Ihsan Perdana kepada akaun bekas perdana menteri itu bagi tujuan CSR adalah andaiannya.

Hal ini kerana Shamsul tidak pernah memberitahunya secara jelas tujuan pemindahan wang tersebut.