Syarikat pengeluar produk kesihatan dan kecantikan terkenal, D'Herbs Holdings (M) Sdn Bhd hari ini didenda RM11,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana kesalahan mengiklankan kenyataan yang mempunyai akuan kesihatan yang bertentangan dengan Akta Makanan 1983, bagi dua produknya.

Majistret Zuhair Rosli membuat keputusan itu itu selepas wakil syarikat itu iaitu pengurus cawangannya mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan pertama syarikat itu didenda RM5,000 dan RM6,000 bagi pertuduhan kedua.

Mengikut pertuduhan pertama, syarikat itu telah mengiklankan produknya iaitu Jus Perawan Gold yang mana setelah siasatan didapati terdapat kenyataan iklan yang mempunyai akuan kesihatan seperti "membantu meningkatkan sistem imunisasi" bertentangan dengan kehendak Seksyen 17(1)(d) Akta Makanan 1983.

Pertuduhan kedua pula, syarikat itu telah mengiklankan produknya iaitu Air Masyur, yang mana setelah siasatan didapati terdapat kenyataan iklan yang mempunyai akuan kesihatan seperti "membantu meningkatkan peredaran darah" dan "membantu melancarkan peredaran darah dan oksigen dalam badan kerana terdapat gingko biloba di dalam madu" yang bertentangan dengan akta sama.

Syarikat itu melakukan kedua-dua kesalahan itu di The New Straits Time Press (Malaysia) Berhad, Balai Berita, 31 Jalan Riong, di sini pada 21 Ogos 2015 dan 30 Mac 2016.

Pendakwaan mengikut Seksyen 17(1)(d) Akta Makanan 1983 yang membawa hukuman denda atau penjara tidak melebihi tiga tahun. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan Selangor, Jeffry Sani Sahimi.

-- BERNAMA