Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata seorang pemain badminton kebangsaan yang disahkan positif dexamethasone telah diberikan bahan itu untuk tujuan perubatan.

Khairy berkata dos dexamethasone diberi kepada atlet itu sebagai sebahagian daripada rawatan kecederaannya, iaitu rawatan stem sel.

“Kami sedang berusaha untuk mengesahkan sekiranya dos itu kekal di dalam tubuhnya,” kata Khairy ketika ditemui pemberita selepas majlis Pelancaran Yoghurt Beku TCBY di sini, hari ini.

Khairy berkata, pihaknya akan menggunakan isu itu sebagai mitigasi semasa pendengaran oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) nanti di mana atlet itu akan memberi keterangan.

Beliau turut berkata, tarikh pendengaran BWF belum dimaklumkan, tetapi biasanya dalam tempoh 21 hari.

Khairy berkata beliau telah menghubungi atlet itu hari ini dan memintanya bersabar.

“Atlet itu sangat cemas dan bimbang tentang masa depannya, sama seperti kita semua,” katanya.

Khairy berkata atlet itu, yang namanya dirahsiakan atas peraturan BWF, telah diberikan bahan tersebut pada 17 Julai, manakala ujian doping dilakukan pada 1 Ogos.

Walau bagaimanapun, laporan media sebelum ini mendedahkan identiti pemain badminton berkenaan sebagai pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Menurut laporan Astro ARENA, hasil ujian Sampel B milik Chong Wei disahkan positif.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerima surat yang mengesahkan keputusan ujian berkenaan daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada 7 November.