Imbangan akaun semasa Malaysia terus mencatat lebihan RM7.6 bilion pada suku tahun kedua 2020, walaupun terdapat ketidaktentuan ekonomi global dan penularan berterusan COVID-19, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin memaklumkan, lebihan imbangan akaun semasa disumbangkan terutamanya oleh eksport bersih barangan sebanyak RM25.9 bilion dan defisit lebih rendah dalam pendapatan sekunder berjumlah RM1.9 bilion.

"Import barangan turun pada kadar yang lebih pantas berbanding dengan penurunan eksport, sekali gus mendorong kepada prestasi yang baik dalam keseluruhan akaun barangan.

"Di samping itu, pendapatan sekunder mencapai defisit terendah kerana jumlah pekerja asing menurun pada suku ini yang menyebabkan kiriman wang ke luar negara yang lebih rendah," kata beliau dalam satu kenyataan.

Bagi separuh tahun pertama 2020, Mohd Uzir berkata, imbangan akaun semasa berkurangan kepada RM17.1 bilion berbanding RM31.3 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Sebaliknya, akaun perkhidmatan mencatatkan mencatatkan defisit tertinggi yang pernahdirekodkan pada RM12.5 bilion.

"Berikutan penutupan sempadan negara bagi warga asing dan sekatan pergerakan merentasi sempadan, komponen perjalanan yang merupakan tulang belakang kepada akaun perkhidmatan telah terjejas teruk pada suku ini dengan mencatatkan defisit RM3.1 bilion," kata beliau.

Mohd Uzir menambah, selain itu, eksport penumpang udara jatuh mendadak kepada RM30.0 juta daripada RM2.4 bilion pada suku kedua tahun lalu.

Sementara itu, komponen telekomunikasi, komputer dan maklumat menunjukkan prestasi yang baik pada suku ini di mana eksport meningkat kepada RM3.3 bilion disebabkan lonjakan permintaan antarabangsa terhadap perkhidmatan rangkaian tetap dan mudah alih yang disediakan oleh syarikat telekomunikasi tempatan.

"Akaun kewangan terus mencatat aliran keluar bersih RM19.8 bilion pada suku kedua tahun ini dengan penyumbang utama adalah pelaburan lain dengan aliran keluar bersih RM41.3 bilion daripada aliran masuk bersih RM22.1 bilion pada suku pertama 2020.

"Ini terutamanya disebabkan oleh pinjaman antara bank bersih ke luar negara oleh sektor kewangan domestik," katanya. - BERNAMA