Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan membuka kaunter pemeriksaan tanpa mengira kategori dan status kewarganegaraan ketika berlaku kesesakan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata untuk tujuan itu, JIM dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menubuhkan pasukan 'Customer Experience Management' (CEM) bagi membantu menyuraikan penumpang ke kaunter sepatutnya.

"JIM juga mengambil langkah dengan menugaskan pegawai yang berperanan sebagai 'usher' bagi menyuraikan kesesakan penumpang di KLIA.

"Bagi memastikan pergerakan penumpang lancar dan mengelakkan kesesakan semasa pemeriksaan, kaunter pemeriksaan akan dikelaskan kepada dua kategori iaitu kaunter tetap dan kaunter sokongan. Cadangan ini bertujuan memastikan kaunter pemeriksaan imigresen dapat dibuka 100 peratus tanpa gagal," katanya dalam kenyataan, di sini pada Rabu.

Semalam, Mustafar bersama-sama Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali mempengerusikan mesyuarat tiga penjuru melibatkan JIM, MAHB dan Airlines Operators Committee (AOC) di KLIA, Sepang. AOC diwakili pengerusinya Mokhtar Othman.

Mesyuarat itu antaranya mengetengahkan penambahbaikan perkhidmatan di KLIA dan klia2 untuk perbincangan bersama.

Mustafar berkata antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai analisis data besar yang bertujuan untuk mengumpul dan menganalisis data bagi penambahbaikan perkhidmatan di lapangan terbang.

"Perjalanan penumpang di lapangan terbang akan melibatkan beberapa 'touchpoints' kritikal di mana ketiga-tiga pihak ini akan bekerjasama memastikan setiap 'touchpoints' dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang," katanya.

Mustafar berkata kerjasama antara JIM, MAHB dan AOC amat penting bagi memastikan setiap penumpang mendapat manfaat daripada masa pemprosesan imigresen yang lebih cepat dan pengalaman yang menyenangkan sama ada mereka tiba atau berlepas.

Dalam kenyataan berasingan, Badlisham berkata sistem kaunter komunal akan berjalan lancar susulan pelaksanaan sistem lampu penunjuk kaunter yang dipasang pada September tahun lalu.

"Sistem itu berperanan menunjuki penumpang ke kaunter seterusnya sebaik sahaja ada kaunter kosong. Ini terbukti dapat mengurangkan masa beratur penumpang secara signifikan," katanya.

Badlisham juga berkata operator lapangan terbang itu merintis inisiatif digital tersebut bersama JIM sebagai sebahagian inisiatif pendigitalan lebih besar di lapangan terbang untuk menambah baik pengalaman pengguna.

"Kami perlu memahami sepenuhnya dan menganalisis data kami supaya kita dapat bekerja bersama untuk mencapai objektif tunggal iaitu memberi perkhidmatan lebih baik kepada penunpang. Sehubungan itu, kami akan bekerjasama rapat dengan semua pihak bagi mendapatkan semua data yang perlu untuk mempermudah automasi pengurusan penumpang," katanya.

Beliau berkata JIM akan memastikan 30 kaunter dibuka dan beroperasi sepanjang masa di aras ketibaan dan 10 kaunter di aras perlepasan di terminal utama KLIA.

-- BERNAMA