Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri mencatatkan bacaan berbahaya iaitu 411 setakat pukul 12 tengah hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar Ismail Mahedin daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak berkata ILP Miri terletak berhampiran dengan kawasan kebakaran hutan dan tanah gambut di Kuala Baram.

"Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram 2 di Miri mencatatkan bacaan IPU 223 iaitu sangat tidak sihat manakala Miri merekodkan bacaan IPU sederhana iaitu 93 setakat pagi ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Keadaan kebakaran di kawasan tanah gambut di Miri. - JPBN Sarawak

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Menurutnya, jumlah titik panas yang dikesan setakat ini ialah dua di Sarawak, 22 di Kalimantan dan 13 di Sumatera.

Sementara itu, menuru laporan Bernama Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata, operasi pemadaman api di kawasan terjejas akan diteruskan hari ini dengan menggunakan helikopter Bomba dan pesawat Bombadier milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang dibahagikan kepada tiga sektor.

Law berkata, helikopter bomba akan memadamkan kebakaran menggunakan kaedah bom air di sekitar kawasan sektor 2 berhampiran dengan ILP Miri.

Jerebu kembali susulan kebakaran tanah gambut di Miri. - Foto JPBN Sarawak

"Sektor 1 operasi akan dijalankan oleh pasukan bomba dari Balai Lopeng untuk memadamkan asap berdekatan tepi jalan," katanya.

Katanya, pesawat Bombardier masih meneruskan pemadaman di sektor 3.

Untuk rekod, pesawat Bombardier telah berada di sini selama seminggu untuk membantu operasi pemadaman di Kuala Baram.