Malaysia merosot dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2016, daripada tangga 54 kepada 55 daripada 176 buah negara.

Menurut indeks yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) Malaysia, ukuran skor Malaysia juga merosot kepada 49 berbanding 50 pada tahun lalu.

Di peringkat ASEAN, Malaysia berada jauh di belakang berbanding Singapura yang berada pada kedudukan ke-7 dan Brunei.

Presiden TI-Malaysia, Datuk Akhbar Satar melahirkan kebimbangan berhubung kurangnya keinginan politik dalam menangani rasuah.


Kedudukan dan skor Indeks Persepsi Rasuah bagi negara-negara ASEAN. - Astro AWANI/Tan Su Lin

"Kita melihat banyak yang telah diperkatakan dalam usaha menangani rasuah tetapi semua hanya janji-janji, kita belum melihat tindakan yang konkrit.

"Selain itu, ahli politik juga bukan hanya perlu bebas rasuah mereka juga perlu kelihatan 'bersih'," katanya semasa mengumumkan laporan CPI 2016 di ibu negara, hari ini.


Justeru TI mengulangi gesaan supaya penjawat-penjawat tinggi kerajaan termasuk ahli kabinet mengisytiharkan aset secara terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Ketua Setiausaha (KSU) dan menteri kabinet sepatutnya mengisytiharkan aset bukan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Perdana Menteri tetapi secara terus kepada SPRM."

"Sekiranya mereka 'bersih' buat apa mereka nak takut?" katanya.