Bermula 27 September hingga 10 Oktober 2020, individu yang pulang dari Sabah diwajibkan menjalani saringan COVID-19 dan diarahkan untuk menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, semuanya akan diberi surat HSO, dipakaikan gelang kuarantin dan tarikh pengawasan pula bermula dari tarikh ketibaan sehingga keputusan makmal diperolehi.

Menurutnya, aktiviti saringan akan dijalankan apabila mereka baru tiba dari Sabah di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

“Pelepasan HSO akan diberikan sekiranya keputusan ujian makmal menunjukkan negatif COVID-19. Sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pulang, individu tersebut perlu menjalani saringan ulangan bagi COVID-19.

“Sekiranya terdapat individu yang perlu meneruskan perjalanan ke rumah masing-masing dengan menaiki kenderaan awam seperti teksi dan kereta Grab, surat kebenaran untuk ke alamat yang ditetapkan akan diberikan pada hari tersebut,” katanya.

Tambah beliau, saringan ke atas individu baik warganegara atau bukan warganegara yang pulang dari Sabah itu dikecualikan daripada caj ujian COVID-19.

“Tempoh pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan COVID-19 ke atas individu yang baru pulang dari Sabah akan disemak dari semasa ke semasa.

“Ia berdasarkan penilaian risiko penularan jangkitan pada masa tersebut dan maklumat mengenai sebarang perubahan berkaitannya akan dimaklumkan kepada umum.

Sabah terus menyaksikan peningkatan kes positif COVID-19 dalam negara apabila merekodkan 64 kes daripada 82 kes yang dicatatkan setakat jam 12.00 tengah hari pada Sabtu, 26 September 2020.

Dr Noor Hisham menerusi ciapan Twitter beliau sebelum ini berkata, daripada 82 kes direkodkan pada hari ini, 79 kes merupakan penularan tempatan dan hanya tiga kes import.

Menurutnya, daripada 79 kes tempatan, 53 kes melibatkan warganegara manakala 26 bukan warganegara.

Bagi kes import pula, dua kes melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara.

Sebanyak 89 pesakit dibenarkan discaj pada hari ini dan tiada pertambahan kes kematian pada tempoh sama menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 133 kes.