Tutup

Individu tertinggi di Malaysia gembira dapat baju raya baru

Individu tertinggi di Malaysia gembira dapat baju raya baru
Individu tertinggi di Malaysia itu juga terpaksa menempah khas bajunya disebabkan saiz yang terlalu besar dan labuh. - Foto Astro AWANI
GUA MUSANG: Ketinggian luar biasa membuatkan Mohd Azli Hisyam Abdul Ghafar, 25, sering berdepan masalah setiap kali hendak membeli baju raya kerana ketiadaan saiz di pasaran.

Berketinggian 2.2 meter atau 7 kaki 2 inci, individu tertinggi di Malaysia itu juga terpaksa menempah khas bajunya disebabkan saiz yang terlalu besar dan labuh.
Menurut Mohd Azli Hisyam yang tinggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 3, keluarganya sebelum ini juga tidak mampu menempah baju raya khususnya baju Melayu kerana kos yang tinggi.

Tambahnya, ketika mengambil ukuran badan, tukang jahit perlu memanjat tangga dan prosesnya pula memakan masa kira-kira 15 minit berbanding lima minit bagi individu bersaiz normal.
Menyedari kesukaran itu, Pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang (Peka GM) dan Majlis Belia Jajahan Gua Musang (MBJGM) telah memberi sumbangan empat pasang baju kepada Mohd Azli Hisyam.

“Terima kasihlah kepada Peka GM, saya harap diteruskan lagi sebab ramai lagi yang susah. Bersyukurlah ada Peka GM,” katanya ketika ditemui pada Isnin.

Mohd Azli Hisyam berkata, dia masih menganggur kerana belum mempunyai sebarang pekerjaan selepas tamat pengajian di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, Alor Setar, Kedah.

Jelasnya, alasan majikan untuk tidak mengambilnya bekerja adalah kerana tubuhnya yang tinggi.

Katanya, dia kini hanya membantu ibu bapanya berniaga namun bercadang untuk menjadi penternak udang di kampungnya selepas ini.

Ketinggian Mohd Azli Hisyam membuatkan dia diiktiraf sebagai individu paling tinggi di negara ini oleh Malaysia Book of Records pada tahun 2014.

Sementara itu, Peka GM, Datuk Roshaimi Razak memaklumkan, pihaknya turut menyumbang baju raya kepada 222 asnaf dan anak yatim sebagai persiapan mereka menjelang sambutan Hari Raya Aidilfiti.

“Hari ni kita bersyukur kepada Allah kerana dengan limpah kurnia-Nya, banyak pula syarikat penderma-penderma di Gua Musang sendiri yang mana beroperasi dan berniaga di sini, banyak memberi sumbangan dan kita harap pada tahun depan sumbangan tu lebih,” katanya.

Tambahnya, Peka GM pada masa sama turut mengalu-alukan sumbangan badan korporat dalam usaha meringankan beban golongan kurang berkemampuan menyambut 1 Syawal.




Tag: Mohd Azli Hisyam Abdul Ghafar, individu tertinggi Malaysia, Rancangan Kemajuan Tanah, baju raya, baju Melayu, Pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang, Peka GM, Majlis Belia Jajahan Gua Musang, MBJGM, Roshaimi Razak



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.