Indonesia menyambut baik usaha Malaysia dalam program Penghantaran Pulang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Secara Sukarela (3+1).

Menurut wakil kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur, Agung Cahaya Sumirat, program yang akan tamat hari ini itu berjaya membawa pulang warga Indonesia yang berada di Malaysia dengan selamat.

“Kedutaan Indonesia menghargai usaha kerajaan Malaysia melalui program 3+1 dengan menghantar pulang PATI Indonesia.

“Ratusan ribu PATI Indonesia telah mengambil manfaat dengan program ini dan kami juga berharap agar Malaysia dapat melanjutkan program yang serupa dengan 3 +1 dalam membantu PATI pulang ke negara masing-masing,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.

Agung turut berkata, kedutaannya dibuka 24 jam sehari bagi untuk rakyat Indonesia yang berada di Malaysia sekiranya mereka memerlukan bantuan.

Sejak 1 Januari lalu sehingga 28 Ogos, seramai 181,529 pati telah mendaftar dan pulang ke negara asal menerusi program 3+1.

Daripada jumlah itu, seramai 102,904 PATI melakukan kesalahan tinggal lebih masa manakala 78,625 pula tiada pas atau permit yang sah.

Jabatan Imigresen akan menjalankan operasi besar-besaran bermula tengah malam Khamis bagi menjejak PATI dan majikan yang masih menggajikan PATI selepas tamatnya program 3 +1 hari ini.