Dianggarkan lebih 20,000 majlis acara kecil dan besar terpaksa dibatalkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Pengerusi Persatuan Penggiat Festival Antarabangsa (ALIFE), Para Rajagopal berkata, industri acara mengalami kerugian sekitar RM1 bilion akibat daripada pembatalan tersebut.

“Kira-kira 300,000 pekerjaan hilang melibatkan (tenaga) sepenuh masa dan pertunjukan bakat komuniti yang terdiri daripada pemandu pelancong, muzik, komedi dan seni kakitangan berisiko kehilangan mata pencarian.

“Kira-kira 400 pengusaha PKS, hotel, penganjur acara, pengendali pelancongan dan syarikat reka bentuk hampir berhenti beroperasi. Semakin lama industri ini tidak dapat beroperasi, jumlah ini akan bertambah meningkat dengan teruk,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Tambah Para Rajagopal, syarikat-syarikat yang mengendalikan acara ini adalah mereka yang terlibat menjadikan Malaysia sebagai lokasi pelancongan yang maju dan menyumbang sejumlah besar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Justeru katanya, pihak industri ketika ini memerlukan garis panduan yang jelas bagi memulihkan industri yang terjejas teruk akibat daripada pandemik Covid-19 yang melanda negara.

“Negara jiran kita seperti Singapura dan Thailand mengambil langkah pertama dalam mewujudkan rangsangan dan langkah perlindungan khusus untuk industri pelancongan, seni dan budaya dalam bentuk sumbangan wang, sokongan latihan dan penyesuaian," jelasnya.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini juga katanya, terdapat rintihan dari sektor seni dan budaya.

Malah jelasnya walaupun kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sektor ini termasuk perniagaan acara, konsert, acara seni dan budaya dan pelancongan masih disenaraikan di bawah perniagaan yang terhad dan tidak dibenarkan.

"Sudah jelas sekarang, industri ini adalah yang pertama dilanda (impak) dan ia akan menjadi yang terakhir untuk pulih," ujarnya.