Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu sektor pertanian dan perikanan menjadi sumber kekayaan baharu kepada rakyat.

Bagi memastikan hasrat itu, beliau berkata, pemain industri bagi kedua-dua sektor terbabit perlu lebih proaktif dan berpandangan jauh selain perlu menggunakan teknologi semasa untuk memastikan hasil yang lebih lumayan dan berdaya saing.

Tambahnya, industri pertanian dan perikanan turut memainkan peranan penting dalam sumbangan ekonomi negara dan sudah pastinya kerajaan akan terus membantu dan membuat pelaburan dalam kedua-dua sektor berkenaan.

"Bagi tahun 2016 sahaja, sektor pertanian telah menyumbang RM89.3 bilion iaitu bersamaan 8.1% sumbangan kepada kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

"Secara khususnya, sektor agro makanan pula telah menyumbang sebanyak RM36.5 bilion atau 3.3% KDNK.



"Pada tahun ini, RM44 bilion telah diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan dan mengurus sektor agro makanan.

"Ini termasuklah RM1.3 bilion berbentuk subsidi dan insentif kepada pesawah dan RM260 juta kepada para nelayan sebagai elaun sara hidup."

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2017 (HPPNK2017) dan Malaysia Food Festival di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini.

Najib berkata, sudah tiba masanya bidang pertanian mampu melahirkan lebih ramai usahawan dan mereka yang mampu muncul sebagai jutawan, dengan menjana kekayaan menerusi hasil pertanian mereka.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut menyifatkan hubungan baik kerajaan dengan negara asing seperti China, dan negara-negara kuasa besar ekonomi lain, turut memberi manfaat kepada sektor pertanian dan perikanan negara.

Mengambil contoh lawatannya ke China tidak lama dahulu, katanya, hasil perbincangan dengan barisan kepimpinan negara tembok besar itu menyaksikan produk durian Malaysia akhirnya dibenarkan masuk ke negara tersebut.

"Saya hendak beritahu kepada tuan-tuan sekalian, bahawa sayalah yang bertanggungjawab untuk meminta supaya durian dibenarkan dieksport ke negara China.

"Bila saya berjumpa dengan pemimpin-pemimpin utama China, saya minta supaya durian diluluskan kemasukkannya. Hari ini kita sudah boleh eksport durian ke negara China.

"Ini telah menyebabkan pengusaha durian kita dapat mengeksport durian dengan harga yang lebih tinggi," katanya.

Pada majlis yang sama, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sekali sebanyak RM30,000 kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) membabitkan dana RM7 juta bagi tujuan pemantapan dua organisasi itu.

Najib berkata peruntukan itu sebagai menghargai usaha golongan yang membekalkan sumber makanan negara dan akan memanfaatkan seramai sejuta anggota persatuan dari kalangan peladang, penternak dan nelayan seluruh negara.

"Menjadi peladang, penternak dan nelayan yang mencurah keringat demi menyediakan sumber makanan rakyat adalah pekerjaan yang cukup mulia dan sebagai golongan yang dekat di hati saya, sumbangan 'wira tidak didendang' ini perlu disanjung tinggi,” katanya.