Industri pelancongan Malaysia menikmati perkembangan positif dengan mencatat 25.9 juta kedatangan pelancong asing pada tahun lepas yang menyumbang 14.9 peratus kepada ekonomi negara.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik percaya perkembangan transformasi digital dapat membantu mempertingkatkan industri pelancongan negara serta menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

"Setakat data kita ada, seramai 3.2 juta rakyat kita bekerja dalam sektor pelancongan," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan nasional Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2018 di Malaysia Tourism Centre (MaTIC) di sini hari ini.

Bakhtiar, yang juga anggota Parlimen Balik Pulau, Pulau Pinang berkata media sosial adalah platform terbaik rakyat untuk mempromosikan industri pelancongan Malaysia ke peringkat global.

Katanya, sambil kerajaan berusaha mengekal dan menambah baik industri pelancongan dengan pelbagai inisiatif termasuklah transformasi digital, rakyat yang mempunyai media sosial boleh menggunakan platform itu untuk menjadi duta dan membantu mempromosi Malaysia ke mata dunia.

Malaysia kini mempunyai lebih 3.15 juta pengguna media sosial.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi, merasmikan sambutan itu yang bertemakan Pelancongan dan Transformasi Digital.

Ia dianjurkan Pertubuhan Pelancongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) dan disambut pada 27 Sept setiap tahun.

Majlis turut menyaksikan perasmian bas WTO Kuala Lumpur Hop On, Hop Off yang disempurnakan oleh Bakhtiar.

-- BERNAMA