Radio masih kekal sebagai medium pilihan masyarakat bagi mendapatkan maklumat terkini meskipun perlu bersaing dengan platform digital lain.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Eddin Syazlee Shith, perkembangan teknologi digital merupakan satu kelebihan dalam mempelbagaikan lagi cara penyampaian maklumat di bawah jenama radio.

Tambahnya lagi, medium itu juga memainkan peranan penting dalam penyampaian maklumat kepada rakyat dan ia masih relevan seiring peredaran zaman.

“Dari segi pemasaran, radio dianggap unik, bukan sahaja untuk hiburan dan muzik malah sebagai sumber maklumat yang utama, terutama melalui perkhidmatan Pesanan Khidmat Awam (PSA), isu-isu semasa atau berita, bicara infotainment dan juga untuk maklumat trafik,” katanya.

Menyentuh mengenai tema yang diangkat iaitu ‘Radio dan Kepelbagaian', jelasnya industri radio di Malaysia amat unik kerana identiti dan jenama radio itu sendiri adalah merupakan satu kelainan yang tidak terdapat di negara lain.

Di Malaysia, stesen radio menyalurkan maklumat berdasarkan lokaliti iaitu dengan mengambil kira kepelbagaian kaum yang ada di negara ini.

“Kepelbagaian dialek ini penting memandangkan jumlah pendengar di Semenanjung Malaysia daripada pelbagai kaum dianggap tinggi, dengan lebih kurang 20.6 juta pendengar setiap minggu, menurut kajian yang dibuat oleh Growth for Knowledge (GFK) Malaysia, menerusi Radio Audience Measurement pada 2019,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika hadir bagi majlis pelancaran sambutan Hari Radio Sedunia 2020 yang diadakan di Wisma Radio, Angkasapuri pada Khamis.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Suriani Datuk Ahmad.

Dalam kesempatan itu, Eddin turut melancarkan Radio Kembar Johorfm/Perakfm.


Sambutan itu disambut meriah dengan kerjasama kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ia diraikan pada tanggal 13 Februari setiap tahun bagi menyingkap kejayaan dan sejarah evolusi radio.

VIDEO: Cerita Sebalik Berita: Sambutan Hari Radio Sedunia 2020