Dalam usaha untuk meringankan beban kos sara hidup, kerajaan hari ini melancarkan inisiatif Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0 (KR1M 2.0).

Walaupun mempunyai tujuan yang sama seperti inisiatif KR1M sebelum ini, KR1M 2.0 beroperasi dengan model yang berbeza.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata KR1M 2.0 akan bergantung kepada kerjasama strategik bersama pengilang,pengeluar, pengedar dan syarikat peruncitan serta penjenamaan bersama.

"Dengan kata lain, tiada lagi kedai khusus untuk KR1M 2.0.

"Barangan akan dijual di kedai-kedai yang menjalinkan kerjasama dengan kerajaan untuk melaksanakan inisiatif ini," kata Datuk Seri Najib dalam sidang media selepas melancarkan KR1M 2.0 di TMG Mall, Temerloh.

Selain itu, beliau memaklumkan ada 50 barangan keperluan berjenama yang akan dijual melalui inisiatif KR1M 2.0 ini.

"Barangan berjenama seperti Milo dan Pampers akan dijual tetapi pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran," jelas beliau.

Setakat ini, kerjasama bagi KR1M 2.0 sudah terjalin bersama Tunas Manja Group (TMG) dan KK Super Mart.

Melalui kerjasama ini, sebanyak 51 outlet KR1M 2.0 akan beroperasi di seluruh negara dan Kerajaan mensasarkan untuk membuka 3,000 kedai dalam tempoh tiga tahun.

Buat permulaan, KR1M 2.0 akan menawarkan empat barangan keperluan asas iaitu gula, minyak masak, tepung dan beras.