Menyambut tahun baru tidak bermakna apa-apa bagi satu keluarga yang tinggal sehelai sepinggang apabila rumah pusaka mereka musnah dalam satu kebakaran di Batu 2 Jalan Kuala Kedah, di sini pagi ini.

Selain rumah yang didiami mereka sejak 50 tahun itu, turut terbakar ialah sebuah rumah dan gerai berhampiran.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, Jaafar Abu Bakar melecur tangan kanan ketika cuba menyelamatkan anak saudaranya yang juga orang kelainan upaya (OKU).

Ketika kejadian, Jaafar, 64 tahun, dan adiknya Sarah, 51 tahun, serta anak Sarah, Mohd Hafiz Baharom, 31 tahun, sedang berada di dalam rumah.

"Tanpa kami sedari, api sedang merebak di tingkat atas rumah, asap sudah hitam. Saya tinggalkan bubur yang sedang dimasak di atas dapur, terus mahu menyelamatkan anak saya.

"Anak saya pula tidak mahu keluar. Dalam keadaan kelam kabut itu, saya tak sempat mencapai apa-apa kerana saya terpaksa menariknya keluar," kata Sarah.

Sebaik menyedari keadaan itu, Jaafar bingkas bangun lalu membantu Sarah mengangkat anak saudaranya dan ketika itu, tangannya terkena bara api yang terjatuh dari tingkat atas.

"Barang-barang semua tak sempat diselamatkan. Baik televisyen, kipas, lesen, kad bank, serta duit sikit, semua tak dapat diambil. Tangan cedera sikit, melecur dek api yang panas sangat," kata Jaafar.

Menurutnya, mereka tinggal bertiga di rumah itu memandangkan adiknya sudah berpisah dengan suami manakala dia merupakan seorang duda yang tidak mempunyai anak.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Mohd Firdaus Isa berkata, setibanya di lokasi pihaknya mendapati api sedang marak.

Ketika itu, rumah pertama sudah musnah 90 peratus manakala rumah kedua dan gerai itu hanya terbakar 10 peratus, katanya.

Api berjaya dikawal 15 minit kemudian dan dipadam sepenuhnya kira-kira jam 11 pagi.

Operasi pemadaman dilakukan enam anggota BBP Jalan Raja dengan turut dibantu 30 anggota dari lima Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.