KUALA LUMPUR:Seramai 98 individu telah ditahan atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Selasa oleh Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu daripada jumlah tersebut seramai 95 individu telah dikompaun manakala tiga lagi direman.

Beliau menjelaskan seramai 34 individu ditahan kerana kesalahan aktiviti dalam pub dan kelab malam yang masih tidak dibenarkan.

Manakala 24 individu melakukan kesalahan tidak menjaga penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka (22), gagal melunaskan caj kuarantin (10) dan gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (8).

"Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 54,764 pemeriksaan semalam (29 September 2020) bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 3,048 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 13,132 anggota telah membuat pemantauan di 3,521 pasar raya, 4,401 restoran serta 1,466 penjaja, 1,136 kilang, 3,511 bank dan 744 pejabat kerajaan. Juga dipantau, sebanyak 1,047 terminal pengangkutan darat, 207 terminal pengangkutan air serta 155 terminal pengangkutan udara," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ismail Sabri juga menjelaskan Operasi Benteng telah berjaya melakukan tangkapan yang melibatkan 34 PATI dan 4 penyeludup.

"Turut berjaya dirampas 6 kenderaan darat. Sebanyak 84 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan PDRM (73 SJR), AKSEM (10 SJR), dan ATM (1 SJR)," katanya lagi.

Beliau juga menjelaskan sejak 24 Julai sehingga 29 September 2020, seramai 37,452 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 67 Hotel dan 11 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA).