Polis Kuala Lumpur telah membuka sebanyak 105 kertas siasatan berkaitan kes ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sepanjang tempoh fasa pertama PKP sejak 18 Mac sehingga 31 Mac.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, seramai 194 individu terdiri daripada 127 warga tempatan dan 67 warga asing berusia dalam lingkungan 16 hingga 86 tahun, telah ditangkap kerana mengingkari PKP.

“Seramai 64 orang telah dituduh di mahkamah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya seramai 4,368 petugas terdiri daripada anggota polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), ditugaskan memastikan pelaksanaan PKP fasa kedua bermula 1 April hingga 14 April dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dipatuhi sepenuhnya.

“Polis akan mengadakan sebanyak 56 sekatan jalan raya dan lain-lain tindakan penguatkuasaan, serta pemeriksaan sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap inidvidu-individu, yang ingkar menurut peruntukan undang-undang di bawah Akta 342 Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan 188 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata 184 kes jenayah direkodkan di sekitar Kuala Lumpur sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP fasa pertama, iaitu kurang daripada nilai ambang sebanyak 432 kes yang disasarkan.

Beliau berkata, jenayah kekerasan mencatatkan penurunan sebanyak 62.8 peratus dan jenayah harta benda pula menunjukkan penurunan sebanyak 55.5 peratus.

“Penurunan kadar jenayah disebabkan pihak polis telah meningkatkan jumlah sekatan jalan raya, rondaan kereta peronda, elemen-elemen balai polis dan mewujudkan pasukan pemantau yang berperanan menguatkuasa pelaksanaan PKP, sekali gus mencegah jenayah berlaku,” katanya.

Mazlan berkata, pihaknya turut berusaha keras dalam memastikan penguatkuasaan PKP bagi tujuan membendung penularan wabak COVID-19.

-- BERNAMA