Polis menahan 48 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menerusi satu kenyataan pada Sabtu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah tersebut, 40 individu direman dan lapan lagi dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti refleksologi atau urut dan aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial.

“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 67,004 pemeriksaan semalam (19 Jun) bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata sebanyak 3,744 Pasukan Pematuhan telah membuat pemantauan dan melibatkan seramai 16,675 anggota.

Sementara itu, katanya PDRM telah membuat 69 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 34,275 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

“PDRM telah berjaya menahan 10 warganegara asing di Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 73 tapak binaan di seluruh Malaysia yang melibatkan 138 penguatkuasa.

Daripada 73 tapak binaan di seluruh negara yang diperiksa, CIDB mendapati 56 tapak binaan telah patuh SOP yang ditetapkan, dua tidak patuh dan diberi amaran manakala 15 lagi tidak beroperasi.

"Jumlah kumulatif tapak binaan yang mematuhi SOP sehingga semalam adalah 2,173 tapak binaan dan 419 tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran.

"Penguatkuasa CIDB turut mengarahkan 19 tapak binaan untuk tutup kerana tidak mematuhi SOP," ujarnya lagi.