Polis menahan 55 individu termasuk pengunjung pusat hiburan dan rumah urut atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada hari ke-21 pelaksanaannya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 11 individu telah direman manakala 44 lagi dikenakan kompaun.

Beliau menjelaskan, seramai 12 individu ditahan di pusat hiburan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) sementara enam lagi ditahan di pusat refleksologi atau rumah urut, diikuti aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (29 orang) dan aktiviti yang melanggar SOP lain (enam orang).

"Pihak polis akan terus mengambil tindakan terhadap mana-mana yang ingkar mematuhi SOP PKPP ini," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, kata Ismail Sabri, pasukan petugas khas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 61,262 pemeriksaan pada Selasa bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP.

Beliau memberitahu, pihak penguat kuasa turut memeriksa 4,087 tempat ibadat serta 1,632 pusat riadah.

"Selain itu, sebanyak 3,896 pasar raya, restoran (5,574 premis), penjaja (1,068 premis), kilang (972) dan pasar tani atau awam (1,625) diperiksa," tambahnya.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melakukan 9,067 operasi sanitasi merangkumi 134 zon setakat Selasa.

"Semalam (Selasa) sebanyak 28 operasi sanitasi dilakukan di 23 zon membabitkan lapan negeri antaranya Sabah (10 operasi), Sarawak (empat operasi) sementara Melaka dan Terengganu masing-masing tiga operasi," katanya lagi.