Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu telah menahan 617 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 20 individu direman manakala baki 597 individu lagi dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan yang dilakukan termasuk menjalankan aktiviti pub dan kelab malam dan aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, seramai 839 individu yang pulang ke tanah air setakat ini ditempatkan di enam Stesen Kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.

Bermula esok, PDRM akan mula mengambil tindakan menangkap dan mendakwa di mahkamah mereka yang gagal tampil untuk menjalani ujian saringan kedua pada hari ke-13 kuarantin rumah.

Mereka yang terbabit diarahkan agar segera menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terdekat untuk melakukan ujian saringan kedua.