Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu telah menahan 617 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 20 individu direman manakala baki 597 individu lagi dikenakan kompaun.

Berikut ialah lima perkara penting yang dinyatakan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataan media berkaitan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini, 26 Julai 2020.

1) Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat
61,715 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

2) PDRM telah membuat 67 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 34,224 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

3) Sebanyak 13 operasi sanitasi meliputi 11 Zon yang melibatkan lima buah negeri iaitu Sabah, Melaka, Pahang, Perlis dan Sarawak. Operasi sanitasi ini melibatkan 30 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 107 anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi-agensi lain.

4) Seramai 839 individu yang pulang ke tanah air setakat ini ditempatkan di enam Stesen Kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.

5) Bermula esok, PDRM akan mula mengambil tindakan menangkap dan mendakwa di mahkamah mereka yang gagal tampil untuk menjalani ujian saringan kedua pada hari ke-13 kuarantin rumah.