Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan pembayaran bonus sebanyak 6.25 peratus kepada 8.6 juta pendeposit bagi tahun kewangan 2014.

Bonus tambahan dua peratus juga akan diberikan kepada pendeposit yang belum menunaikan ibadah haji sekali gus menjadikan bonus keseluruhan 8.25 peratus.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata peruntukan untuk pembayaran bonus itu adalah tertinggi sejak penubuhan Tabung Haji iaitu RM3.2 bilion.

Ia merupakan peningkatan 23 peratus, berbanding RM2.6 bilion pada 2013.

"Pemberian bonus haji ini mengukuhkan iltizam Tabung Haji dalam menjaga kebajikan para pendepositnya yang kurang berkemampuan untuk menunaikan haji selain daripada pemberian subsidi kos haji yang dipraktikkan saban tahun."

Beliau ditemui pada sidang media bonus pendeposit Tabung Haji 2014 di ibu negara pada khamis.

Pendeposit boleh mula menyemak pengkreditan bonus bermula 26 Januari ini.

Bagi tahun kewangan 2013, TH membayar bonus enam peratus dan bonus haji sebanyak dua peratus kepada 8.3 juta pendeposit.