Ketika penularan pandemik COVID-19 menggusarkan masyarakat negara ini, ada pula pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan melakukan penipuan dalam talian semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Antara kes dalam talian dikesan dalam tempoh tersebut ialah penipuan jualan penutup mulut dan hidung yang melibatkan kerugiaan jutaan ringgit dan cubaan sindiket dalam talian untuk mendapatkan maklumat peribadi dan perbankan mangsa.

Berikut lima kes penipuan dalam talian sepanjang PKP:

20 Mac 2020

Di Kepala Batas, Pulau Pinang, seorang penuntut institut pengajian tinggi terpaksa menanggung kerugian RM780 akibat diperdaya sindiket penjualan pelitup hidung dan mulut yang tidak wujud.

Mangsa yang berusia 23 tahun dikatakan mula mencari produk itu secara dalam talian termasuk penjual di sebuah laman Facebook selepas gagal mendapatkannya di kedai-kedai berhampiran, baru-baru ini.

BACA: Penuntut rugi ditipu beli penutup hidung dan mulut tidak wujud


4 April 2020

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad, siasatan awal polis mendapati, modes operandi suspek adalah dengan mengiklankan penjualan topeng muka di media sosial seperti Facebook, Instagram dan beberapa aplikasi lain.

Apabila terdapat mangsa yang ingin membeli topeng muka itu, suspek kemudiannya akan memberikan akaun bank (akaun palsu) menerusi aplikasi WhatsApp.

BACA: 556 laporan polis, RM4.2 juta kerugian dicatat berhubung penipuan jualan topeng muka


13 April 2020

Taktik baharu sindiket penipuan dalam talian. Memuat naik aplikasi ‘testflight’ dan ‘bnmsafe 8002' antara taktik baharu yang digunakan sindiket penipuan dalam talian untuk dapatkan maklumat peribadi dan perbankan mangsa.

Polis menerima enam laporan berhubung sindiket penipuan itu dari tujuh hingga sebelas April lalu, melibatkan kerugian berjumlah RM295,350.



13 April 2020

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, penipuan sindiket kini bertumpu kepada penutup hidung dan mulut memandangkan produk itu mendapat permintaan tinggi orang ramai ketika penularan jangkitan COVID-19.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat pembelian di aplikasi atau laman web yang mempunyai ciri-ciri keselamatan selain memilih kaedah pembayaran secara tunai ketika barang tersebut sampai.

BACA: Polis Selangor siasat 144 penipuan jual topeng muka babit kerugian RM1.5 juta


16 April 2020

Pelaksanaan PKP memaksa masyarakat menggunakan platform atas talian untuk melakukan urusan harian namun ia juga membuka peluang kepada pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dalam kesempitan.

Ini dapat dilihat menerusi jumlah kes jenayah siber di negeri Selangor sejak PKP dilaksanakan bermula 18 Mac hingga 15 April lalu yang menunjukkan peningkatan sebanyak sebanyak 53.80 peratus atau 283 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

BACA: PKP: Jenayah siber catat peningkatan 283 kes di Selangor