Seorang anak muda sanggup meredah lebuh raya sejauh 173 kilometer semata-mata mahu merubah nasib keluarga.

Bukan tidak mahu hidup 'susah' namun, graduan lepasan Universiti Malaysia Pahang, Abdul Hakim Mohamad, 28 tahun ini mempunyai keinginan untuk membalas jasa kedua ibu bapanya dengan memberikan kehidupan yang lebih baik.

Katanya, dia berasa terpanggil untuk membahagiakan keluarga terutama kedua ibu dan bapanya yang selama ini berhempas pulas membesarkan hingga memberi jaminan untuknya bergelar graduan.

Menceritakan lebih lanjut, sejak tamat pengajian dalam jurusan Perniagaan di UMP, dia tidak pernah sesekali goyang kaki sebaliknya mencuba pelbagai jenis pekerjaan untuk membantu meringankan beban keluarga.

Malah, usahanya mencari kerja dan 'melariskan diri kepada industri pekerjaan tidak pernah terhenti.

"Saya kerja biasa-biasa dulu. Kerjalah apa yang ada di kampung," katanya yang hadir di pekarangan Stadium Sultan Abdul Halim di Jalan Suka Menanti, Alor Setar seawal 8 pagi untuk merebut peluang yang dibuka menerusi Sesi Temu Duga Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) Zon Utara pada Sabtu.

Bagi Abdul Hakim, sejak bergelar graduan, dia faham selain terpaksa melalui fasa mencari kerja yang penuh dengan cabaran dan dugaan.

Namun, harapan anak muda itu mudah iaitu mampu dapat kerja demi membantu ibu bapanya.

"Mak ayah saya dah bersara, inilah masanya saya nak tolong mereka pula dengan mendapat pekerjaan sekali gus membahagiakan mereka," jawabnya ringkas.

Sesi Temu Duga SL1M Zon Utara menawarkan 9,000 tempat latihan dan kerja kosong untuk graduan dan pencari kerja untuk mencari kerja di negeri seperti Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

Di sepanjang hari pertama Sesi Temu Duga Terbuka, Abdul Hakim telah mengunjungi 12 reruai atau booth dan melalui temu duga bersama empat syarikat yang dilihat berpotensi.

"Harapan saya, nak dapatkan tempat latihan seterusnya diserap dalam perjawatan yang ada jika diberi peluang. Apa yang saya boleh buat sekarang, tunggu dan teruskan mencari kerja," katanya lagi.

Untuk Pilihan Raya Umum ke 14, Hakim bakal bertugas sebagai salah seorang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya di Taiping.