Rakyat Malaysia yang bagus adalah mereka yang pulang ke tanah air selepas melanjutkan pengajian ke luar negara.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata telah tiba masa untuk mereka pulang ke tanah air walaupun kualiti hidup jauh berbeza dengan negara yang mereka diami ketika ini.
Jelas beliau, mereka seharusnya menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik atau setanding dengan negara maju lain.
"Apabila anda belajar di luar negara, anda akan merasai kehidupan berbeza. Jika anda ke negara maju, keadaan kehidupan jauh lebih baik berbanding Malaysia.
"Anda berkemungkinan untuk tinggal di sana disebabkan anda inginkan kehidupan yang baik.

"Namun, rakyat Malaysia yang bagus adalah mereka yang ingin pulang ke nagara asal dan menjadikan negara mereka sama seperti negara yang mereka belajar," jawab Dr Mahathir pada sesi dialog bersama rakyat Malaysia yang berada di sini malam tadi.
Tambah beliau, walaupun gaji yang diperoleh di Malaysia mungkin jauh lebih rendah berbanding negara maju yang mereka menetap, namun kos sara hidup di tanah air lebih rendah.
"Kalau anda tidak percaya, apabila anda ke London dan beli barang dan dengan nilai yang sama, anda boleh beli tiga kali ganda daripada apa yang anda beli di London.
"Sebab itu mereka yang menetap di Malaysia, walaupun bergaji kecil, tapi kualiti hidup lebih tinggi daripada yang dijangka," jelasnya lagi.
Malah, beliau memberi peringatan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara bahawa peluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara adalah disebabkan polisi dan dasar negara.
Justeru, tiba masanya untuk mereka kembali ke tanah air dan memberi semula sumbangan kepada pembangunan negara.