Kumpulan yang mungkin menjadi paling terkesan dengan COVID-19 adalah mereka yang tergolong dalam kelompok gelandangan, sempadan, dan kes-kes import, kata pakar.

"Respons Malaysia terhadap menangani wabak COVID-19 adalah antara yang terbaik di dunia," kata Dr. Helmy Haja Mydin, Pakar Perunding Kanan, Perubatan Respiratori Hospital Pantai.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersikap proaktif dalam memantau dan mengenal pasti kes-kes positif COVID-19, dan dalam menyediakan hospital bagi menangani wabak ini," tambah beliau.

Tetapi, menurut beberapa pakar, sebuah 'gelombang ketiga' mungkin akan timbul dalam masa terdekat.

"Namun demikian, ada kemungkinan Malaysia akan dilanda 'gelombang ketiga'. Kita berkemungkinan akan mendapat banyak kes positif yang baharu, dari negara-negara jiran dengan kadar yang tinggi," tambah beliau lagi.

Isu ini juga digariskan oleh Ketua Pengarah KKM.

"Segala langkah-langkah pencegahan harus diambil demi keselamatan diri dan keluarga anda.

"Kegagalan bukan pilihan di sini. Jika tidak, kita mungkin menghadapi 'gelombang ketiga'. Virus ini akan menjadi lebih besar, seperti tsunami," kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

Setakat 20 Mac, sebanyak 1,030 kes positif telah dilaporkan. Dari angka ini, 1,008 kes adalah dalam 'gelombang kedua' penyebaran wabak ini.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus pula menyifatkan jika wujudnya 'gelombang ketiga', maka kelompok gelandangan, dan juga di sempadan negara, akan terkesan secara maksimum.

"Menguji pesakit menghidapi COVID-19 wajib dilakukan. Tetapi, bagi negara berpendapatan rendah, akses untuk menguji kelompok ini akan sukar dilakukan," kata Karl Blanchet, Pengarah Pendidikan dan Penyelidikan Kemanusiaan, melalui sebuah wawancara di akhbar Guardian.

Buat masa ini, kes import COVID-19 di Malaysia masih bertambah, dan angka rasmi masih sedang diteliti.

Namun, kes-kes import dan kes-kes di sempadan dan pintu-pintu masuk negara harus dipantau bagi memastikan wabak ini dikawal.

Pada waktu sama, cara negara menangani kesihatan mental bagi rakyat jelata juga amat penting untuk dilakukan.

Tan Sri Lee Lam Thye, penaung Befrienders KL, sebuah badan yang mempromosikan kesihatan mental yang baik berkata, isu penting adalah untuk memberi sokongan mental yang baik kepada mereka yang memerlukannya.

"Satu isu utama lain yang memerlukan perhatian segera oleh kerajaan ialah menyediakan sokongan psikososial.

"Bukan hanya kepada mereka yang memerlukan tetapi ia lebih penting kepada pekerja kesihatan barisan hadapan yang berdepan pesakit yang dijangkiti COVID-19," kata beliau.