"Inilah bentuk kesyukuran rakyat Malaysia" - Azwan Ali

"Inilah bentuk kesyukuran rakyat Malaysia" - Azwan Ali
Selebriti Azwan Ali mencuri perhatian peserta Himpunan 812 yang berlangsung pada Sabtu. Foto HIlal Azmi.
KUALA LUMPUR: Selebriti kontroversi, Azwan Ali menyifatkan kehadirannya dalam Himpunan 812 bersifat peribadi dan tidak membabitkan mana-mana parti politik.

“Inilah bentuk kesyukuran rakyat Malaysia dan kita buat perhimpunan aman.

“Ini satu bentuk perjuangan yang menyebabkan saya sendiri berdebar untuk menghadiri himpunan kali ini.  Ini himpunan pertama saya hadiri sejak tiga dekad menjadi selebriti,” katanya ketika ditemui Astro AWANI. 

Sementara itu, Polis menganggarkan seramai 55,000 peserta hadir pada perhimpunan kesyukuran meraikan penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di ibu negara, pada Sabtu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, perhimpunan itu berlangsung secara aman, lancar dan selamat.

Peserta perhimpunan berkenaan mula membanjiri ibu negara seawal pukul 7 pagi dengan berarak ke Dataran Merdeka lengkap berpakaian serba putih.

Perhimpunan yang awalnya bertujuan membantah cadangan ratifikasi ICERD, bertukar menjadi ‘perhimpunan kesyukuran’ susulan kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, pada 23 November lalu.