Pemansuhan semua yuran pendidikan sekolah rendah dan menengah mampu membantu mengurangkan bebanan ibu bapa.

Usaha ini sekali gus mampu membantu dalam usaha menggalakkan ibu bapa membuat perancangan menimang lebih ramai cahaya mata, kata Profesor Undang-Undang, Wanita, Keluarga dan Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Noor Aziah Awal.

“Inisiatif yang boleh diambil pembuat polisi untuk membantu mengatasi risiko Malaysia menjadi negara menguncup adalah untuk menyediakan pendidikan percuma dengan memansuhkan yuran sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Hal ini kerana ibu bapa dibebankan dengan yuran wajib bayar, daripada yuran khas hingga bayaran tambahan persekolahan.

“Inisiatif ini dapat membantu mengurangkan tanggungan ibu bapa dan mereka tidak perlu risau akan bebanan untuk menyediakan sejumlah wang yang besar,” kata Noor Aziah ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

Tambahnya, dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, perbelanjaan untuk pendidikan anak-anak sememangnya menjadi salah satu faktor kebanyakan pasangan hanya mahu melahirkan seorang atau dua anak sahaja.

Noor Aziah juga memberikan cadangan supaya pembuat polisi memberi tekanan kepada penyediaan kemudahan penjagaan anak di tempat kerja.

Inisiatif ini mampu membantu meringankan beban ibu bapa yang berkerjaya untuk mengimbangi peranan mereka dalam keluarga dan di tempat kerja.

“Pembuat polisi perlu memberikan sokongan dalam bentuk penyediaan tadika dan tempat jagaan anak di tempat kerja.

“Jika tiada sokongan ini, tiada sesiapa yang akan melahirkan anak kerana tiada sesiapa yang dapat menjaga anak-anak tanpa melepaskan kerjaya mereka,” ujarnya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata penduduk Malaysia dijangka mencapai kemuncak 46 juta orang menjelang tahun 2071 sebelum mengalami penguncupan penduduk (population shrinkage) pada tahun 2072.

Keadaan itu bakal menjadi realiti sekiranya kadar kesuburan di negara ini terus menurun dengan kadar semasa dan tiada langkah intervensi diambil.