Usaha Malaysia dalam menangani cabaran pendidikan, terutamanya melalui penubuhan 'unit pelaksanaan', boleh membantu negara-negara membangun lain yang ingin meningkatkan implementasi dalam sektor ini, menurut laporan Bank Dunia yang dilancarkan pada Selasa.

Laporan Improving Education Sector Performance: Lessons from the Delivery Unit merupakan laporan terkini dalam Siri Laporan Pengetahuan Bank Dunia yang mengurus dan menyebarkan pengalaman pembangunan Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Dasar dan Pembangunan Pendidikan) Kementerian Pendidikan, Datuk Sulaiman Wak mengatakan bahawa pelan transformasi pendidikan ini merupakan sebahagian daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

“Ia adalah satu penekanan khas oleh Model Ekonomi Baharu (MEB) yang membezakannya daripada pelan pendidikan atau tindakan lain yang menumpukan kepada pelaksanaan.

"Sebagai sebahagian daripada strategi untuk memastikan kejayaan, ia menonjolkan keperluan untuk menubuhkan unit bebas bagi memantau rancangan pelaksanaan yang dinamakan Unit Prestasi dan Pelaksanaan Pendidikan (PADU),” kata beliau.

Ketua Eksekutif Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU), Khatijah Abdullah juga mengatakan bahawa PADU telah menunjukkan kejayaan terutamanya dalam program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) dan percaya laporan Bank Dunia mengenai PADU boleh dijadikan contoh kepada negara membangun lain.

“Laporan ini hanya salah satu daripada inisiatif yang kita miliki. Kami sangat gembira dan bangga kerana Bank Dunia menganggap ia sebagai salah satu inisiatif yang layak selain patut dijadikan laporan untuk dikongsi di peringkat global," katanya lagi.