Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Superintenden Lew Keng Joe memberitahu Mahkamah Koroner Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim tidak menjawab soalan berhubung dakwaan dirinya dipukul.

Saksi ke-28 itu berkata perkara itu ketika beliau melawat mangsa pada kali kedua di Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara (IJN) pada 12 Disember 2018.

"Saya tanya terus pada Adib adakah dia dipukul atau dilanggar tapi Adib tidak dapat menjawab.

"Dia nampak begitu emosi dan cuba cabut tiub di mulut tapi dihalang jururawat.

"Menurut Dr Ezani (Pakar Bedah Kardiotorasik IJN) Adib mungkin hilang ingatan kerana tekanan darahnya agak rendah," ujarnya.


BACA: Muhammad Adib dipercayai turun sendiri dari EMRS - Pakar forensik

BACA: Tiada kesan manusia pada jentera FRT, EMRS - Pegawai Sains


Beliau berkata demikian ketika menceritakan detik melawat Muhammad Adib sebanyak tiga kali sebaik sahaja ditanya oleh pegawai pengendaki inkues, Faten Hadni Khairuddin pada Isnin.

Dalam perkembangan lain, Lew turut memaklumkan bahawa hasil analisa pihak forensik Bukit Aman tidak menemui kesan cap jari yang cukup sifat.

"Pasukan makmal forensik PDRM telah membuat pengecaman cap jari atas Van (EMRS) dan Jentera (FRT) dan saya serah pada Bukit Aman, mendapati kebanyakan tak cukup sifat untuk dibuat perbandingan," katanya.

Beliau yang hadir pada prosiding hari ke-21 itu turut mengesahkan kepada mahkamah berhubung bahan-bahan bukti yang diterimanya berkaitan dengan kes berkenaan.

Pihaknya turut dimaklumkan, corak kecederaan Muhammad Adib tidak berpadanan dengan kesan akibat dipukul atau diserang berdasarkan laporan pihak forensik. Menurutnya, seramai 61 saksi telah dipanggil polis untuk diambil keterangan berhubung kes terbabit.


BACA: Tulang rusuk patah hanya dikesan ketika bedah siasat - Pakar forensik

BACA: Tolak kemungkinan Adib ditolak dari arah hadapan - Pakar forensik